Monday, July 26, 2010

Bila Kau Rasa Ini Rasaku

Hari ini aku pulang dari kerja agak awal dari biasa. Memandangkan hari masih awal,
aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar ibu kota. Sekadar melepaskan
penat bekerja seharian. Hmm...sudah lama aku tidak berkesempatan mengambil angin seperti
petang ini. Seronok pula rasanya walaupun manusia sentiasa memenuhi segenap ruang disana
sini. Sedang aku leka melihat barang-barangan yang dijual di sekitar Masjid India, aku
terlihat sekumpulam manusia sedang leka berkerumun melihat sesuatu. Pastinya sesuatu yang
menarik!
Terdetik juga dihati ini ingin melihat apakah yang melekakan mereka semua sehingga
langsung tidak berganjak dari tempat mereka berdiri. Entah mengapa hatiku semakin kuat
meronta-ronta ingin melihat apabila orang ramai yang mengerumuni bertepuk tangan.
Seolah-olah mereka sedang melihat ahli silap mata membuat magic. Aku juga pelik dengan
perasaanku yang tiba-tiba ini. Mungkin ianya sesuatu yang menarik? Mungin juga...siapa
tahu.
Ketinggian yang ku miliki langsung tidak membantu ku melihat. Puas ku cuba
berasak-asak dengan mereka yang lain. Harapanya dapatlah ku kehadapan bagi melihat
dengan jelas lagi ‘panorama’ didepan sana. Namun, hanya bau-bauan yang tidak tertahan
menghidangi hidungku ini. Masam...masin... manis...semua ada!
Tidak mahu mengalah, aku bergerak ke sebelah kanan pula. Ya! Dari sini aku nyata
boleh melihat dengan jelas. Namun apa yang terpampang dihadapanku hanyalah perkara
biasa... seorang pelukis jalanan yang sedang tekun melukis potret seorang wanita.
Dikelilingnya juga penuh dengan lukisan potret pelbagai wajah.
Memang tidak disangkal, lukisan-lukisan nya semua tampak hidup. Cantik! Tapi apa
yang dipelikkan? Di sekitar bandar raya ini juga setahu ku terdapat ramai lagi pelukis jalanan.
Namun, tidaklah terlalu mendapat perhatian seperti pemuda ini.
Apa istimewanya lelaki ini? Adakah wajahnya kacak sehingga meraih perhatian? Tapi
serasaku tidak logik pula. Kalau benar pun pemuda itu terlalu kacak, pastinya dia hanya
mendapat perhatian gadis-gadis saja. Namun kini bukan saja para gadis, ‘mak-mak’ dan
‘bapa-bapa’ juga turut setia melihat.
Takkan orang KL tak pernah tengok orang melukis potret??? Ada baca ayat ‘gunaguna’
ke??? Alamak...terlebih sudah! Hehehe. Aku cuba mengintai wajah pemuda itu tapi
gagal kerana kedudukannya membelakangi ku. Yang kelihatan hanyalah lukisan potretnya
yang hampir sempurna siap.
Selagi aku tidak melihat wajah pemuda itu dan keistimewaanya, hatiku ini tidak akan
puas. Mungkin bukan rezeki ku hari ini.Esok aku akan datang lagi...
***
***
“Lewat kau balik, Wan?” Hadi yang melihat sahabatnya itu terkial-kial membawa
perkakas lukisan ditangan turun membantu.
“Hmm...ramai sangat pelanggan tadi. Tak menang tangan aku...” Ikhwan menghela
nafas. Penat siang tadi masih belum hilang.
“Yeke? Alhamdulillah...murah rezeki kau, Wan.” Hisyam yang sedang leka menonton
drama Impak Maksima, menyampuk.
“Alhamdulillah. Aku pun tak sangka di bandar besar macam ni masih ada rezeki
menanti untuk orang macam aku ni.” Wajah Ikhwan berubah mendung.
Melihat akan perubahan di wajah sahabat mereka itu, Hadi dan Hisyam mendekati.
Mereka tahu apa yang difikirkan Ikhwan itu.
“ Wan, dahlah tu. Sebagai hamba Allah, kau kena redha dengan Qada dan Qadha
nya.” Hadi menepuk-nepuk bahu sasa sahabatnya sebagai tanda semangat. Hisyam disebelah
mengangguk tanda mengiyakan.
Ikhwan seyum. Dia tahu Hadi dan Hisyam merupakan sahabat yang baik...di masa
senang mahupun susah. Dia berasa sungguh bertuah dapat memiliki sahabat sebaik mereka.
“Aku tahu. Terima kasih Hadi...Syam.”
Ikhwan bangkit. Berlalu ke bilik. Badan harus dibersihkan dan diri ini pula
memerlukan rehat secukupnya kerana esok masih banyak tugas yang menanti.
***
***
Masjid India, 10 pagi...
Sengaja aku datang ke sini lebih awal hari ini. Niatku bukan untuk membeli-belah
tetapi memburui agenda yang tidak kesampaian semalam.
Dari jauh sudah kelihatan orang ramai sudah berpusu-pusu mengelilingi pelukis
jalanan itu. .Hmm! Nampaknya ada lagi yang lebih awal dari aku. Cuma ia tidaklah seramai
semalam. Mungkin hari masih awal.
Naluri ku kuat mengatakan lelaki ini pasti ada yang ‘istimewa’ tentangnya kerana
semalam dia turut hadir dalam mimpiku. Walaupun begitu, wajahnya tidak jelas kelihatan.
Sesungguhnya, kehadirannya mengundang misteri kepadaku. Siapa dia???
***
***
Masjid India, 10 malam...
Jam sudah menjengah ke angka 10 malam. Aku masih disini. Setia menati si dia.
Hanya memerhati dari jauh. Tidak pernah aku membuat kerja segila ini!
Untuk mendekatinya terus serasa tidak sesuai kerana dia begitu sibuk melayan
‘pelanggan-pelanggannya.’ Oleh itu, aku membuat keputusan menantinya sehingga dia
selesai melakukan ‘tugasnya’ untuk malam itu.
Sewaktu dia sedang leka mengemas perkakas lukisannya, aku terus menjalankan misi
ku yang tertangguh kelmarin.
“Encik, boleh tolong lukiskan potret saya?” Aku pura-pura bertanya. Sengaja ingin
mengumpanya bersembang denganku.
“Maaf, cik. Saya dah nak balik ni. Hari pun dah lewat. Cik datang esok saja ye.” Dia
tidak memandangku. Tangannya tangkas mengemas tanpa mempedulikan kehadiranku.
Ape...tak cantik ke aku ni?!
Dalam samar-samar cahaya itu aku dapat melihat wajahnya dengan jelas. Kacak!
Matanya...keningnya... hidungnya...mulutnya... semuanya cantik terbentuk.
Aku bagaikan berada dalam duniaku sendiri. Terasa seperti jatuh cinta pandang
pertama. Tetapi mengapa dia tidak memandangku? Seakan tersedar dari mimpi yang panjang,
aku kembali ke alam nyata.
“Encik, tolonglah. Satu potret je.” Aku merayu lagi. Dengan harapan dapat
mengenalnya dengan lebih dekat.
Panas hati ku ini apabila rayuanku sedikit pun tidak diendahkannya. Sudahlah aku
menantinya dari pagi sehingga malam menjelma, boleh pula dia buat tidak tahu!
Tanpa aku sedar, aku merampas semua berus lukisan yang entah berapa batang
ditangannya dengan kasar. Ke semua berus lukisan itu bertaburan jatuh ke tanah. Aku
tergamam sendiri dengan sikapku yang tiba-tiba itu. Namun,dia dengan selamba tunduk
mengutip berus-berus itu tanpa memarahiku langsung. Terdetik rasa bersalah dihati tapi....
Aku terperanjat apabila tangannya teraba-raba mencari dan mengutip berus-berus
yang jatuh tadi. Aksinya seolah-olah dia tidak nampak di mana kedudukan berus lukisan
tersebut. Aku terpaku memandangnya. Mungkin terasa diri diperhatikan, dia menghentikan
perbuatannya.
“ Kenapa? Terkejut? Tak sangka?” Bertubi-tubi soalan dia ajukan padaku.
“Err...awak...” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku....
“Ya! Saya buta. Puas?” Aku terperanjat dengan kenyatan yang diberikan.
“Tapi...” Aku tidak mampu meneruskan kata-kata seterusnya.
“Kuasa Allah. Segala yang diberikan adalah kurniaanNya yang tak ternilai...” Dengan
perlahan dia mengungkapkan kata-kata itu yang menusuk ke jantung hatiku.
Barulah kini ku tahu mengapa dia mendapat perhatian ramai. Dia melukis dengan
mata hati. Walaupun buta, tapi setiap lukisannya seolah-olah dia nampak apa yang dilukis.
Dalam diam, aku mengagumi dirinya.
**
Dua tahun kemudian...
“Ikhwan...Suri nak tanya cikit boleh?” Aku memberanikan diri bertanya.
“Hahaha..sejak bila pulak kalau Suri nak tanya, Ikhwan kenakan cukai? Tak ada kan?
Tanya aje lah...” Dia ketawa. Seakan-akan satu jenaka pula padanya.
“Emm... kalau Wan dapat melihat semula, Wan nak kahwin dengan Suri tak?” Aku
memandang tepat ke matanya. Matanya celik namun siapa sangka pemuda kacak ini tidak
cukup satu pacaindera yang tak ternilai harganya..
Kali ini ketawanya semakin galak. Aku hanya membatukan diri.
“ Wan, Suri tak main-main...” Tanpa dipaksa, air mataku menitis. Dia bungkam.
“Suri, Suri sendiri tahu Wan ni macam mana. Wan tidak sesempurna orang lain. Wan
tak layak bergandingan dengan Suri. Wan buuu...” Cepat-cepat aku meletakkan jari telunjuk
ke mulutnya.
Sesungguhnya, aku tidak mahu perkataan akhir itu keluar dari mulutnya. Aku ikhlas
menyayanginya. Dan aku yakin dialah jodoh yang telah tersurat oleh Allah kepadaku.
“Hmm...” Ikhwan mengeluh panjang.“Suri, seandainya Tuhan takdirkan Wan dapat
melihat semula, Wan akan mengawini Suri. Ini janji Wan!” Ayat terakhirnya benar-benar
menbuat hatiku berlagu riang.
Aku akan nantikan saat itu...
***
Suatu pagi...
“Hello, Suri.” Awal pagi itu aku mendapat panggilan dari Ikhwan.
“Wan, kenapa ni tiba-tiba aje call?” Biasanya dia tidak akan menelefonku seawal hari
ini.
“Good news! Tak lama lagi Wan akan dapat melihat semula...” Suaranya kedengaran
begitu ceria.
“ Betul ke ni?” Aku sungguh gembira dengan berita yang disampaikan Ikhwan.
Dalam hati, aku mengucap syukur kehadratNya.
“ Iye, sayang. Minggu depan operation .” Dari suaranya, aku tahu dia sudah tidak
sabar lagi melihat dunianya kembali.
***
Sebulan kemudian...
“Suri! Kenapa Suri cuba jauhkan diri dari Wan?” Walaupun hanya berbual melalui
telefon, suaranya jelas kedengaran tegang.
Ya! Selepas Wan mendapat ‘mata barunya’, aku sudah tidak menghubunginya lagi
mahupun berjumpa. Kali terakhir aku berjumpanya sehari sebelum dia diusung ke bilik
pembedahan. Sengaja igin menatap wajah Ikhwan sepuas-puasnya.
“Suri...cakaplah. Kenapa diam? Suri tak suka Wan dapat melihat semula?” Aku diam.
Tiada kata yang mampu ku ungkapan.
“ Suri..kalau Wan tahu akan jadi begini, Wan sanggup untuk tidak melihat selamalamanya
asalkan Suri tak jauhkan diri dari Wan.” Nada suara Ikhwan berubah kecewa.
Dihujung talian, hanya esak tangisku saja yang kedengaran. Bukan aku tidak mahu
bertemu Ikhwan tapi ada rahsia yang harus ku sembunyikan dari pengetahuannya.
“ Wan nak tatap wajah ‘mata hati’ Wan ni. Dan... Wan nak kabulkan janji Wan dulu
pada Suri. Kita jumpa, ok?” ‘Mata hati?’ Aku tersenyum mendengar perkataan yang disebut
Ikhwan itu.
***
Aku setia menanti Ikhwan di tempat dimana dia pernah melukis dulu. Di sini jugalah
tempat pertemuan pertama kami dulu. Sengaja aku datang lebih awal sebelumnya. Apakah
reaksinya nanti apabila melihatku?
Ikhwan sampai tepat pada masanya. Sewaktu dia sampai ditempat yang dijanjikan
bersama Suri, kelihatan seorang gadis buta turut berada di situ. Dia berasa serba salah samada
mahu terus ke sana atau menanti saja Suri di tempatanya berdiri.
Jantung aku pula tiba-tiba saja berdegup kencang. Aku dapat merasakan seperti
Ikhwan sudah berada dekat dengan diri ini.
Entah mengapa tiba-tiba saja kaki Ikhwan laju saja melangkah ke arah di mana gadis
buta itu berada. Seolah-olah gadis itu menggamit Ikhwan datang kepadanya.
Dengan ringan mulut, Ikhwan menegur. “Err...maafkan saya Cik. Cik dah lama ke
duduk dekat sini?” Sekilas dia memandang wajah gadis buta itu. Cantik! Sudah lama dia
tidak melihat keindahan ciptaan Ilahi itu.
“Ikhwan??? Awak Ikhwan kan?” Ikhwan terkejut kerana gadis buta itu tahu namanya.
“Ya..saya Ikhwan tapi macam mana...” Belum sempat Ikhwan menghabiskan katakatanya,
gadis buta itu bersuara lagi.
“ Sebab saya Su..Suri...” Menggeletar aku menyebut namaku sendiri.
Adakah lelaki dihadapanku ini terkejut apabila mengetahui gadis buta yang dilihatnya
itu adalah aku? Bagaimanakah reaksinya? Sayangnya aku tidak mampu melihat.
“Suri??? Betul ke awak ni Suri? Ikhwan tahu Suri dulu tak macam ni kan?” Agakkan
ku tepat sekali. Ikhwan benar-benar terkejut.
Yang bermain-main di hatiku kini sanggupkah dia menerimaku seperti dulu?
Sanggupkah dia menunaikan janjinya dulu padaku? Aku pasrah andainya dia tidak mampu
menerimaku seperti dulu. Aku terima takdirNya andainya dia bukan untukku lagi.
“Ya Allah...Suri, kenapa Suri sanggup buat ini semua? Kenapa Suri?” Ikhwan
memegang bahuku dengan kedua belah tangannya. Kuat!
“Sebab Suri sayangkan Ikhwan. Suri nak Wan tahu Suri sanggup berkorban apa saje
demi cinta kita ni. Dan paling penting, Suri nak tengok Wan melihat semula. Walaupun Suri
tak dapat melihatnya tapi Suri gembira.” Aku senyum.
“Suri nak tengok Wan melihat semula tapi Suri...” Suara Ikhwan kedengaran sedih.
Benar-benar menyentuh naluri wanitaku ini. Aku terdengar satu esakan kecil dekat
ditelingaku.
Tanganku meraba-raba wajah kacak milik Ikhwan. Walaupun aku tidak boleh melihat
lagi tapi aku tahu dia tetap lelaki paling kacak yang menghuni hatiku ini. Wajahnya basah.
Ya! Ikhwan menangis. Aku seperti tidak percaya air mata lelaki ini tumpah jua akhirnya.
Tidak semena-mena, air mataku mengalir. Bukan kerana menyesal mendermakan mata
milikku kepada putera hatiku ini tapi hatiku benar-benar terkilan kerana telah menyebabkan
air mata lelakinya tumpah.
“ Suri, Suri tahu tak pancaindera yang satu ini penting sangat? Suri tahu tak betapa
besarnya pengorbanan yang Suri dah buat ni?” Ikhwan menyeka air mataku. Mata-mata yang
melihat langsung tidak dipedulikan.
“Suri tak perlukan lagi...” Pendek aku menjawab.
“ Tapi kenapa?” Suara Ikhwan kedengaran terkejut.
“Sebab... Ikhwan mata hati Suri. Suri boleh melihat dan merasa getaran melaluinya”
Aku senyum lagi.
Perlahan-lahan aku merasakan pegangan tangan Ikhwan semakin kejap pada
tanganku. Terasa diri ini teramat dekat dengan dirinya.
“Suri..” Ikhwan memalingkan tubuhku mengadapnya.
“Sudikah Suri menjadi permaisuri hidup Wan? Bukan untuk seketika tapi untuk
selamanya...” Kata-katanya lembut menusuk terus ke jantungku.
Aku tersenyum dan mengangguk setuju. Itulah satu-satunya ayat keramat yang aku
tunggu-tunggu selama ini.
Terima kasih Tuhan kerana menemukan diriku dengan lelaki ini. Aku yakin dialah
jodohku kerana Kaulah mata hatiku. Selama-lamanya...

No comments:

Post a Comment